Artikel Terkini

Bencana Alam Percepat Proses Penuaan Monyet

Bencana Alam Percepat Proses Penuaan Monyet
Bencana Alam Percepat Proses Penuaan Monyet 1
Follow our Telegram

Perubahan iklim sudah membawa pelbagai musibah cuaca yang bersifat ekstrem. Dan ia boleh mempercepat proses penuaan dalam kalangan spesies haiwan termasuk manusia. Buktinya, anda hanya perlu melihat monyet-monyet yang terselamat dari Taufan Maria pada tahun 2017 di Pulau Cayo Santiago, Puerto Rico.

Selepas mengambil sampel monyet-monyet ini, mereka mendapati taufan kategori lima itu mempercepatkan proses penuaan secara genetik monyet untuk purata tempoh dua tahun. Jika ini dibandingkan mengikut tahun jangka hayat manusia, ia bersamaan dengan tujuh hingga lapan tahun. Dapatan kajian ini turut mendedahkan kesan biologi yang lebih signifikan terhadap spesies primat itu sekiranya corak cuaca ekstrem ini berterusan.

Taufan Maria yang berlaku pada September 2017 meragut lebih 3,000 nyawa dan memutuskan bekalan elektrik untuk 3.4 juta penduduk selama beberapa minggu. Taufan ini juga turut membawa kerugian harta benda sebanyak AS$100 bilion (RM419.2 bilion).

Walaupun penuaan yang berkait dengan bencana alam masih lagi belum dibuktikan berlaku kepada manusia, itu tidak bermakna ia boleh dipandang enteng. Ini kerana monyet berkongsi pelbagai ciri biologi dan tingkah laku dengan manusia termasuk kesan penuaan terhadap badan. Justeru, usah terkejut proses penuaan radikal yang dialami monyet-monyet ini boleh berlaku kepada manusia.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Science ini membabitkan sepasukan pakar antarabangsa dari pelbagai institusi. Ini termasuk Institut Penyelidikan Primat Carribean, Universiti Exeter, Universiti Pennsylvania dan Universiti New York. Walaupun hanya 2.75% populasi monyet di Cayo Santiago mati akibat Taufan Maria, saintis ingin mengetahui apakah kesan musibah sebegini kepada monyet-monyet yang terselamat.

Bagi menjayakan kajian ini, 100 sampel diambil dari 100 ekor monyet pasca-Taufan Maria. 100 sampel ini dibandingkan dengan 400 sampel monyet yang diambil beberapa tahun sebelum Taufan Maria melanda Puerto Rico. Hasil analisis mendedahkan sesuatu yang mengejutkan: proses penuaan yang lebih cepat pada sistem imun monyet-monyet pasca-taufan.

Antara gen-gen yang terkesan ialah gen yang berkait dengan keradangan, proses penghasilan dan pembentukan protein, tindak balas adaptasi sistem imun dan sel-T. Gen yang berkait dengan keradangan menunjukkan angka ekspresi lebih tinggi pasca-taufan. Sementara gen yang berkait dengan proses protein, sistem imun dan sel-T pula menjadi perlahan akibat bencana sama. Gen-gen ini turut dikatakan menjadi punca penyakit kardiovaskular dan Alzheimer.

Kajian sama turut mendapati sesetengah monyet mengalami proses penuaan yang lebih pantas daripada monyet lain. Bagi Profesor Lauren Brent dari Universiti Exeter, ini mungkin dipengaruhi oleh faktor persekitaran seperti sistem sokongan sosial. Sistem sebegini dilihat mempengaruhi tindak balas monyet kepada bencana alam.

Brent melihat sistem sosial dapat membantu monyet mengatasi kesan bencana dan muncul lebih kuat daripada sebelumnya. Beliau melihat sistem ini dapat membantu manusia untuk hidup lebih sihat dan lebih lama untuk jangka masa panjang.

Ini dapat dilihat dalam satu dapatan kajian lain bahawa monyet yang mempunyai rakan baik boleh hidup lebih lama. Ini berdasarkan pemerhatian yang dibuat selama tujuh tahun di Cayo Santiago membabitkan 219 ekor monyet. Menurut Profesor Brent dalam kajiannya yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the Royal Society B, monyet sebegini bukan saja diterima oleh semua tetapi mampu memberi kelebihan dari segi kecergasan dan kesihatan.

Dapatan ini turut disokong oleh Profesor Sam Ellis dari Pusat Penyelidikan Tingkah Laku Haiwan, Universiti Exeter. Beliau melihat monyet yang mempunyai rakan baik sebegini meraih pelbagai kelebihan. Ini termasuk kerjasama lebih berkesan dalam pelbagai aktiviti seperti mendapatkan makanan dan membentuk pakatan dengan monyet-monyet lain.

Satu perkara yang mahu ditambahbaik para pengkaji untuk kajian seterusnya ialah mengukur kadar penuaan dalam kalangan setiap monyet di Cayo Santiago. Mereka berharap untuk kajian seterusnya, kajian jangka panjang bagi setiap monyet dapat dibuat bagi mencari kaitan antara penuaan dari segi biologi, kepayahan dan struktur sosial bila berdepan bencana alam.

Monyet mula diperkenalkan di Cayo Santiago pada 1938 menerusi 409 ekor monyet yang diimport dari India. Ia dibawa ke pulau berkenaan bagi mewujudkan koloni untuk kajian spesies primat berkenaan di hemisfera barat.

RUJUKAN

Chadwick, J. (2022, 8 Februari). Natural disasters can speed up AGEING in monkeys: Rhesus macaques in Puerto Rico genetically aged by two years following Hurricane Maria in 2017, study warns. Daily Mail.

Sankaran, V. (2022, 9 Februari). Survivors of extreme weather events may experience accelerated ageing, new study suggests. The Independent.

Sumber gambar: Noah Snyder-Mackler/Arizona State University

[ad_2]
Source
[vc_row][vc_column][vc_column_text woodmart_inline="no" text_larger="no"][sociallocker id="61266"]Bencana Alam Percepat Proses Penuaan Monyet 2[/sociallocker][/vc_column_text][/vc_column][/vc_row] kontraktor rumah, bina rumah, pinjaman lppsa, pengeluaran kwsp, spesifikasi rumah, rumah ibs, pelan rumah, rekabentuk rumah, bina rumah atas tanah sendiri, kontraktor rumah selangor, rumah banglo

Back to list