Artikel Terkini

Ketuanan Rasuah

Ketuanan Rasuah
Ketuanan Rasuah 1

DALAM sebuah kapal yang hampir karam setiap penumpang akan bekerjasama untuk mencari solusi dengan menutup bocor lubang tak kurang juga yang mencedok air keluar supaya kapal dapat diselamatkan dari tenggelam. Namun situasi akan jadi berbeza sekiranya kapal tersebut menyediakan kemudahan khas untuk orang kaya-kaya dan elit-elit. Kerjasama tadi tidak akan berlaku bahkan akan berlaku pula penindasan, mementingkan diri sendiri semata-mata untuk menyelamatkan diri dari kematian. Mereka tidak akan kisah apa yang bakal berlaku, apakah penyebab kebocoran berlaku dan mutu pembinaan kapal itu kerana mereka tahu keselamatan mereka akan terjamin.

Situasi sama juga berlaku dalam sesebuah negara yang mengamalkan rasuah. Mengapa adanya sesetengah elit tidak mengambil tahu bahkan menegur perilaku korupsi yang semakin merebak, menjahanamkan dan membusukkan negara kerana mereka tahu perilaku korupsi itu tidak akan menjejaskan keselesaan, kenyamanan dan kemewahan mereka, bahkan menambahkan lagi. Sekiranya satu negara itu tumbang, mereka ini boleh saja keluar pada bila-bila masa. Segala kesengsaraan tidak akan sesekali dirasai dan dibencanakan pada mereka. Sebab itu rasuah merebak dengan begitu teruk sekali sehingga boleh saya istilahkan sebagai ketuanan rasuah.

Ketuanan rasuah mempunyai kaitan rapat dengan budaya pemikiran strategik elit dan bangsa jahil yang memberikan ancaman malapetaka kepada negara. Istilah ini sudah tentu ada kaitan besar antara idea pemikiran tuan dan hamba. Jika kita faham makna tersirat dan tersurat istilah ini merujuk kepada bangsa khusunya bangsa majoriti (Melayu) yang banyak terlibat dengan kasus korupsi termasuk elit politiknya sekali. Saya mendapati istilah ketuanan ini merupakan istilah yang sangat bahaya sekiranya dibiarkan kerana bangsa yang akan terbentuk nanti merupakan sebuah kelompok bangsa yang mengangkat rasuah lebih dari nilai moral dan kemanusiaan.

Ketuanan Rasuah Dan Ciri-Cirinya

Ketuanan rasuah merebak dengan mempamerkan beberapa ciri antaranya apabila penyamun dan perompak itu tidak henti-henti diberikan perhatian termasuk oleh elit-elit lain dalam negara. Siap dijemput ke pejabat dan kediaman mereka yang besar itu. Umpamanya korupsi yang dilakukan itu tidaklah termasuk dalam kesalahan dan segala idea perompak itu tadi wajar didengari lagi. Ini aneh ya, dalam masyarakat tidak pernah saya melihat seorang petani yang meminta nasihat daripada mereka yang telah mencuri hasil tani kerana dari awal sekiranya idea mereka itu bagus tidak akan berlaku jenayah merompak dan mencuri. Terumbang ambingnya nilai moral ini seakan memberi petanda bahawa rasuah itu telah membentuk kartel dalam kalangan mereka seterusnya membentuk idea ketuanan rasuah.

Ciri kedua untuk mengenalpasti bahana ketuanan rasuah berada di puncak ketika media masih sibuk mengambil tahu dan menuliskan tentang perompak dan penyamun yang sebelum ini menyamun duit rakyat. Setiap gerak-geri, ceritanya mahu dituliskan mahu dikedepankan seolah-olah negara dan masyarakat tidak boleh hidup tanpa kehadirannya. Begitu mencengangkan, di satu sisi undang-undang telah menjatuhkan hukuman di satu sisi lagi sibuk mahu mengangkat kelompok ini kembali, padahal sudah berjuta telah masuk ke dalam perut mereka tanpa ada sedikit pun belas kasihan. Media ini memegang kunci persepsi, mereka ini bertanggungjawab untuk menentukan hala tuju sesebuah jenayah. Jika diselindungkan kemudian dihiasi dengan bau-bauan yang indah-indah ia akan mewujudkan ilusi dan kesedaran palsu buat masyarakat umpannya rasuah tak pernah terjadi dan mereka yang terlibat rasuah dalam kelompok elit bukanlah penjenayah.

Ciri ketiga ini selalu dapat dilihat apabila koruptor, perompak, penyamun dan penyangak tadi dipuja dibelai, dihormati dan disanjungi oleh kelompok penyembah dalam kalangan masyarakat. Tanpa mempedulikan pada nasib anak-anak yatim dicurangi akibat rasuah, pelajar yang serba kekurangan tidak boleh belajar, pesakit yang harus menunggu berjam-jam untuk mendapatkan rawatan dan nasib pemuda-pemudi yang terseksa hari-hari. Bagi kelompok pemuja ini kemunduran bukanlah disebabkan oleh bencana rasuah, hari demi hari sanggup bertegang urat menegakkan benang yang basah. Tidak juga boleh diletakkan kesalahan atas bahu mereka semata sedangkan berapa ramai kelompok akademik yang bangun untuk mencerahkan dan menentang budaya rasuah serta pemikiran ketuanan rasuah dalam masyarakat? Malah ada juga ulama, asatizah dan selebriti yang mendukung langsung perasuah atas dalil-dalil mereka. Memang sudah sampai ke pangkal kegilaan hingga hilang kerasionalan, budi dan nilai.

Ciri keempat adalah apabila pendidikan tidak mengambil posisi terhadap peristiwa rasuah. Setiap kali tragedi rasuah berlaku, pendidikan harus memberi reaksi kebencian terhadap jenayah ini. Termasuklah mengamati dan menggariskan bahasa yang digunakan untuk menampakkan bahawa jenayah rasuah itu begitu ringan. Misalnya dengan menggantikan perkataan rasuah menjadi politik wang. Itu semua kaedah untuk menutupi kejahatan dan kerosakan yang telah dilakukan dengan mengalihkan perhatian. Apabila pendidikan tidak mengambil posisi, tidak menyatakan pendirian, generasi baru tidak akan menyedari masalah ini akhirnya meninggalkan barah dan faham normalisasi bahawa rasuah itu perlu dilakukan. Sehingga pada hari ini seakan akur bahawa untuk mendapatkan peluang yang lebih baik perlu ada kenalan atau “kabel” ketimbang mutu dan kualiti. Jangan dibiarkan benteng akal dan nurani ini roboh dihenyak korupsi.

Ciri kelima adalah ketika undang-undang dibengkokkan sesuka hati. Tergelak lucu bila memikirkan peristiwa di mana seorang bekas pemerintah sewaktu diambang kehilangan kuasanya menyatakan para koruptor (penyamun) sanggup datang kepadanya dengan tujuan dapat membebaskan diri mereka dari tuduhan kes yang sedang dibicarakan. Bagaimana sebuah negara yang tertegak dengan perlembagaan dan undang-undang boleh dilacurkan sampai begitu sekali? Bukankah sepatutnya undang-undang dan keadilan itu merupakan entiti yang terpisah dari badan lain? Peristiwa ini seakan memberi isyarat bahawa ia boleh terjadi dan lebih membimbangkan ia telah pun terjadi sebab itu para penyamun tadi tidak ada rasa malu dan segan silu menuntut dengan sedemikian rupa. Bentuk ini adalah salah satu bentuk ketuanan rasuah yang parah.

Ketuanan rasuah adalah wabak dalam masyarakat kita, ia menjadikan para penyamun tadi tidak ada rasa malu, bersalah dan berdosa kerana walaupun mereka melakukan jenayah masih dipuja, disenangi dan diberikan perhatian oleh semua. Peristiwa ini telah mencabar akal sihat, rasional, nilai murni bagi bangsa yang hidup dalam sebuah negara merdeka maka ia harus diperbetulkan dengan segera. Seperti idea Chomsky;

Moral cowardice and intellectual corruption are the natural concomitants of unchallenged privilege.”


Ketuanan Rasuah 1
kontraktor rumah
bina rumah
pinjaman lppsa
pengeluaran kwsp
spesifikasi rumah
rumah ibs
pelan rumah
rekabentuk rumah
bina rumah atas tanah sendiri
kontraktor rumah selangor
rumah banglo

Source


kontraktor rumah, bina rumah, pinjaman lppsa, pengeluaran kwsp, spesifikasi rumah, rumah ibs, pelan rumah, rekabentuk rumah, bina rumah atas tanah sendiri, kontraktor rumah selangor, rumah banglo

Back to list