Artikel Terkini

Sejarah Kebangkitan Shogun Yang Epik Dan Panjang Di Jepun

Sejarah Kebangkitan Shogun Yang Epik Dan Panjang Di Jepun
Sejarah Kebangkitan Shogun Yang Epik Dan Panjang Di Jepun 1

Sebelum Zaman Pemulihan Meiji pada pertengahan abad ke-19, Jepun diperintah oleh shogun selama berabad-abad lamanya. Benar, Maharaja Jepun merupakan figura tertinggi tetapi ia tidak diiringi dengan kuasa pemerintahan. Sebaliknya, ia dipegang oleh shogun dengan keshogunan paling terkenal ialah Keshogunan Tokugawa.

Jadi, bagaimana shogun bermula sebagai pemerintah Jepun? Semuanya bermula sekitar era Heian (794 hingga 1185 Masihi) dengan latar belakang ketenteraan menyelubungi nama shogun itu sendiri. Shogun merupakan gabungan dua perkataan iaitu sho (komander) dan gun (tentera).

Ingin baca bagaimana Jepun cuba menjajah China dan Korea pada waktu silam? Beli buku terbaru The Patriots Kitab Tamadun Jepun di: http://bit.ly/KitabTamadunJepun

Melihat terjemahannya, ia bermaksud komander tentera. Tetapi shogun juga merupakan singkatan kepada gelarannya  yang sebenar iaitu sei-i taishogun yang bermaksud jeneral yang menamatkan pemberontakan orang gasar.

Semasa tempoh awal era Heian, Maharaja Jepun bergelut untuk menundukkan puak Emishi yang menetap di timur laut Pulau Honshu. Puak ini menolak sebarang usaha penguatkuasaan kerajaan yang berpangkalan di Kyoto. Justeru, sekitar abad kelapan dan kesembilan Masihi, komander-komander tentera diutus ke sana untuk menewaskan mereka.

Disebabkan puak Emishi dianggap orang gasar oleh Maharaja Jepun, jeneral yang menewaskan mereka diberi gelaran shogun. Puak Emishi yang teruk ditekan rejim di Kyoto memilih untuk tunduk atau berundur ke Hokkaido.

Tetapi era Heian paling dikenali sebagai era kebangkitan satu kelas rakyat yang kita ketahui sebagai samurai. Sebelum ini, kuasa pemerintahan Jepun terletak di tangan maharaja dan golongan aristokrat. Tiga puak samurai utama yang muncul ketika itu ialah Taira, Fujiwara dan Minamoto dengan mereka bergelut sesama mereka untuk mendominasi pemerintahan Jepun dan keluarga diraja.

Ini membawa kepada Perang Genpei iaitu perang saudara membabitkan pihak Taira dengan Minamoto. Ia tercetus gara-gara tindakan puak Taira yang cuba merampas kuasa tetapi ditentang oleh puak Minamoto yang disokong Maharaja Rokujo. Perang yang berlangsung selama lima tahun itu berakhir dengan kemenangan puak Minamoto di Oshu pada Oktober 1189.

Minamoto no Yoritomo

Sebagai ganjaran, ketua puak Minamoto no Yoritomo diangkat sebagai shogun. Tetapi bagi memastikan puak aristokrat tidak menjadi batu penghalang kepada dominasi pemerintahannya, beliau turut melantik beberapa samurai terpilih sebagai ketua wilayah.

Ketua-ketua wilayah inilah yang kita kenali sebagai daimyo dan ganjaran terhadap sokongan mereka. Selain itu, mereka juga berperanan sebagai pengimbang kepada bangsawan-bangsawan lain. Sesetengah daimyo merupakan golongan samurai tetapi ada juga yang mempunyai darah ada-ada.

Secara teknikalnya, pemerintahan Minamoto sebagai shogun bermula pada 1185 tetapi ia hanya diiktiraf secara rasmi pada 1192. Disebabkan pusat pemerintahannya terletak di Kamakura, 65 km di barat daya Tokyo, keshogunannya dikenali sebagai Keshogunan Kamakura. Tetapi selepas Yoritomo, kebanyakan shogun yang dipilih seterusnya hanyalah boneka bagi puak tertentu seperti puak Hojo.

Puak Hojo merupakan kuasa sebenar di belakang setiap shogun lebih-lebih lagi selepas Minamoto no Sanetomo meninggal dunia pada 1219. Dan fakta ini amat merimaskan mana-mana maharaja yang merasakan kedudukan mereka semakin terhakis.

Lantas pada 1221, Maharaja Go-Toba yang telah turun takhta melancarkan kempen penentangan terhadap shogun. Bagaimanapun, hal ini dapat dihidu oleh puak Hojo dan pemberontakan ini ditamatkan dengan pantas. Go-Toba dan putera-puteranya dibuang negeri dengan putera saudaranya, Go-Horikawa ditabalkan sebagai maharaja baru.

Satu lagi pemberontakan tercetus pada abad ke-14, kali ini membabitkan Maharaja Go-Daigo. Walaupun berjaya dikalahkan dan dibuang negeri, baginda berjaya melepaskan diri dan menubuhkan pasukan tentera untuk melawan mereka. Pada masa sama, pengaruh Keshogunan Kamakura semakin lemah – satu fakta yang disedari ramai daimyo dan samurai seperti Ashikaga Takauji.

Ashikaga Takauji

Pada 1333, puak Hojo mahukan Takauji memburu Go-Daigo. Bagaimanapun, Takauji dan para daimyo lain memilih berpaling tadah dan menyokong gerakan pemulihan kuasa maharaja yang digerakkan baginda. Mereka kemudiannya berjaya menakluk Kamakura dengan puak Hojo memilih membunuh diri melalui seppuku. Dengan kematian puak Hojo, maka berakhirlah riwayat Keshogunan Kamakura.

Ini membawa kepada Era Pemulihan Kenmu (1333-1336). Bagaimanapun, kegagalan Go-Daigo meraih kesetiaan para daimyo dan samurai yang menyokongnya mengakibatkan mereka sekali lagi bangkit memberontak. Takauji cuba memujuk baginda melantiknya sebagai shogun dan menghancurkan pemberontakan tetapi gagal.

Akibatnya, beliau memutuskan untuk berdepan dengan mereka dan berjaya pada 1335. Begitupun, tindakannya melantik dirinya sebagai shogun dan mengagihkan tanah terhadap para pengikutnya tanpa perkenan Go-Daigo mengundang kemurkaan baginda. Ini mencetuskan konflik bersenjata antara kedua-dua pihak.

Konflik ini berakhir pada Julai 1335 selepas Kyoto berjaya ditakluk oleh Takauji. Akibatnya, G0-Daigo terpaksa duduk dalam buangan dengan beliau menabalkan seorang kerabat diraja lain sebagai maharaja boneka. Maharaja Suko inilah yang mengiktiraf kedudukan Takauji sebagai shogun sekaligus membawa kepada pembentukan Keshogunan Ashikawa.

Tetapi jika dibandingkan Keshogunan Ashikawa dengan Tokugawa dan Kamakura, keshogunan ini dianggap keshogunan yang paling lemah. Ini kerana ia berpusat di Kyoto yang juga tempat para maharaja Jepun bersemayam. Justeru, ini memaksa mereka berkongsi lebih banyak kuasa dengan maharaja.

Ingin baca mengenai sejarah Islam di India? Beli buku terbaru The Patriots, Mughal: Mutiara Islam Di India di: http://bit.ly/PraTempahMughal

Selepas Ashikaga Yoshimitsu, shogun ketiga keshogunan berkenaan memilih menetap di Muromachi, Kyoto, ini menyebabkan keshogunan ini dikenali juga sebagai Keshogunan Muromachi.

Perlahan-lahan, kuasa shogun semakin terhakis dengan para daimyo berlumba-lumba meningkatkan kedudukan masing-masing. Kemudian pada 1467, pertelingkahan dua keluarga samurai yang ada kaitan dengan Keshogunan Muromachi mencetuskan Perang Onin. Walaupun perang ini akhir berakhir sedekad kemudian, ramai sejarawan melihat perang ini sebagai prolog kepada era Sengoku (perang saudara dari akhir abad ke-15 hingga awal abad ke-17).

Gambaran Pertempuran Sekigahara yang membantu Tokugawa Ieyasu mengasaskan Keshogunan Tokugawa pada abad ke-16.

Di sebalik kekacauan yang tercetus dalam era Sengoku, Keshogunan Ashikawa terus bertahan selama seabad lagi sebelum ditewaskan oleh samurai dan daimyo terkenal Oda Nobunaga. Era Sengoku hanya berakhir dengan penubuhan Keshogunan Tokugawa oleh Tokugawa Ieyasu pada 1600 selepas menang di Sekigahara. Selepas itu, barulah Jepun menikmati tempoh aman dan stabil selama lebih 200 tahun.

Era keshogunan ini turut dikenali sebagai era Edo (1603-1868). Bagi menjamin kestabilan, hierarki empat kelas sosial dibentuk iaitu samurai (kelas pertama), petani (kelas kedua), artisan (kelas ketiga) dan pedagang (kelas keempat). Di atas empat ini ialah maharaja, kerabat diraja, aristokrat, shogun, pendeta Shinto dan sami Buddha.

Walaupun hierarki ini bertujuan menstabilkan Jepun dari segi sosial, ia mengundang masalah baru. Samurai dilihat semakin hilang taring walaupun diberi banyak keistimewaan. Akibatnya, ada yang memilih menggunakan pedang mereka untuk tujuan jenayah. Tetapi ada juga memilih beralih sebagai birokrat pada era ini. Bagi golongan pedagang pula, walaupun mereka dianggap kaya, ia tidak bermakna selagi mereka dipandang hina oleh masyarakat.

Keshogunan Tokugawa turut memilih menutup terus sempadan mereka kepada orang luar. Ini terpakai bukan saja kepada golongan pedagang tetapi mubaligh-mubaligh Eropah. Ini kerana agama Kristian yang diperkenalkan kepada penduduk Jepun ketika itu dianggap satu ancaman kepada keshogunan.

Semasa perintah itu dikuatkuasakan, terdapat 300,000 penduduk Jepun yang menganut Kristian. Berang dengan tindakan keshogunan menghalang orang luar termasuk mubaligh daripada masuk, ini membawa kepada Pemberontakan Shimbara dari Disember 1637 hingga April 1638.

Pemberontakan ini merupakan konflik terbesar pernah dihadapi Keshogunan Tokugawa sepanjang era Edo. Ini juga merupakan antara detik keshogunan ini mengumpul tentera dari pelbagai wilayah untuk menghancurkan pemberontakan tersebut.

Tinggalan Istana Hara yang terletak di Semenanjung Shimabara.

Pada akhirnya, 37,000 orang pemberontak dipenggal kepala. Istana Hara yang menjadi pangkalan para pemberontak dibakar sehingga hangus. Dan bagi memastikan perkara ini tidak berulang, populasi Shimabara ditambah dengan membawa masuk penduduk luar dengan Buddha merupakan agama utama.

Tindakan Keshogunan Tokugawa menutup pintu sempadannya sememangnya menjamin kestabilan Jepun. Tetapi ia mengakibatkan negara itu ketinggalan di belakang negara-negara Barat. Selepas angkatan laut Amerika Syarikat di bawah Komodor Matthew Perry tiba di Teluk Edo (kini Teluk Tokyo) pada 1853, dasar tertutup Jepun akhirnya musnah.

Salinan Perjanjian Kanagawa dalam Bahasa Jepun.

Setahun selepas itu, Perjanjian Kanagawa dimeterai antara kedua-dua negara dengan pelabuhan Hakodate dan Shimoda dibuka kepada kapal-kapal AS. Pemeteraian perjanjian ini dianggap permulaan pengakhiran Keshogunan Tokugawa dan permulaan semula pemberontakan daimyo-daimyo pro-maharaja.

Bagi mereka, Keshogunan Tokugawa telah hilang keabsahan mereka dengan mengadakan perjanjian dengan negara asing. Ini membawa kepada Perang Boshin yang tercetus antara 1868 hingga 1869 dengan kemenangan memihak kepada tentera pro-maharaja.

Tokugawa Yoshinobu

Shogun terakhir Tokugawa Yoshinobu meletak jawatan pada 1867 dan mengembalikan semula kuasa kepada Maharaja Meiji. Dengan tindakan terakhirnya itu, maka berakhirlah riwayat jawatan shogun yang membayangi Jepun selama lebih 700 tahun.


Kalau anda berminat dengan artikel sejarah Jepun seperti ini, kami nak cadangkan buku terbaru kami, KITAB TAMADUN JEPUN pada pautan berikut: http://bit.ly/KitabTamadunJepun

RUJUKAN

Mingren, W. (2020, 18 Jun). The Amazing Ascent of the Japanese Shoguns from 1192 to 1867. Ancient-Origins.

Sejarah Kebangkitan Shogun Yang Epik Dan Panjang Di Jepun 1
kontraktor rumah
bina rumah
pinjaman lppsa
pengeluaran kwsp
spesifikasi rumah
rumah ibs
pelan rumah
rekabentuk rumah
bina rumah atas tanah sendiri
kontraktor rumah selangor
rumah banglo

Source


kontraktor rumah, bina rumah, pinjaman lppsa, pengeluaran kwsp, spesifikasi rumah, rumah ibs, pelan rumah, rekabentuk rumah, bina rumah atas tanah sendiri, kontraktor rumah selangor, rumah banglo

Back to list